Get free consultation from Waterco today! Please contact us at: +6011-1012 2889 | WhatsApp  
 

Waterco Malaysia bekerjasama dengan Harian Metro membantu masyarakat dalam mendapatkan bekalan air bersih yang dijamin halal

Thu, 8 Dec 2022

Waterco (Far East) Sdn Bhd (Waterco Malaysia) bekerjasama dengan Harian Metro menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bagi membantu masyarakat dalam mendapatkan bekalan air bersih yang dijamin halal.

Menerusi kolaborasi itu, Waterco Malaysia menyumbang lima penapis air, Micron W300 MKII kepada restoran, masjid dan pertubuhan kebajikan terpilih di sekitar Lembah Klang.

Penerima berkenaan adalah Masjid Kampung Sungai Chinchin, Gombak; Surau Ar Rahman Taman Taming Impian, Kajang; The Fennel by Cendana Cafe, Petaling Jaya; Restoran Selera Pantai Timur, Seri Kembangan dan Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Kuala Lumpur.

Pengurus Hal Ehwal Awam & Projek Khas Waterco Malaysia Harfizi Hassan berkata, pihaknya berharap penapis air yang disumbangkan itu dapat memberikan keyakinan kepada pengguna dan kehidupan yang lebih baik serta sihat pada masa hadapan.

 

"Selaras dengan komitmen kami untuk menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk rakyat Malaysia serta memenuhi keperluan pasaran, Waterco Malaysia bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mendapatkan pensijilan halal.

"Selepas menjalani pemeriksaan dan pengauditan yang teliti, pihak kami berjaya memperolehi pensijilan halal untuk produk penapisan air kami pada Jun lalu.

"Kami memahami pengiktirafan ini bukan sekadar keperluan keagamaan, malah ia juga dijadikan sebagai garis panduan untuk memastikan status air yang selamat, berkualiti, sihat dan bebas daripada sebarang sumber yang meragukan.

 

Lee Kok Yong (empat dari kanan) bersama  lima wakil penerima pada Program TKHM bersama Waterco di Masjid Kampung Sungai Chinchin

 

"Kami merakamkan terima kasih kepada Harian Metro kerana sudi berganding bahu bagi mendekatkan masyarakat Islam seperti di masjid atau surau, rumah anak yatim dan perniagaan restoran tempatan yang memerlukan penapis air bersih, bermutu dan halal," katanya.

Hadir sama di majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di Masjid Kampung Sungai Chinchin itu adalah Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM Husain Jahit, Ketua Pegawai Eksekutif Waterco Malaysia Lee Kok Yong, Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia Koo Zao Cheong dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malek.

Yusri pula berkata, kerjasama strategik antara Harian Metro dan Waterco melalui TKHM itu dapat membantu masyarakat terutamanya pengguna Muslim untuk menikmati bekalan air tanpa rasa waswas.

"Sebagai rakan media, Harian Metro amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Waterco Malaysia untuk menyalurkan bantuan produk penapis air kepada masyarakat, sekali gus mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna dan juga pemain industri mengenai kepentingan mendapatkan bekalan air yang bersih dan selamat untuk digunakan.

"Peranan kami di Harian Metro bukan sekadar melaporkan berita dan maklumat semasa, tetapi juga sebagai medium komunikasi untuk menyampaikan ilmu, maklumat dan informasi yang tepat kepada seluruh masyarakat," katanya.

 

Press News Clip

Copyrights© 2023 Waterco | Website Development by Stimulus